Artikel Terkini

Premier Tak Kelas, Guna Saja White Rajah

Premier Tak Kelas, Guna Saja White Rajah
Premier Tak Kelas, Guna Saja White Rajah 1

ADA orang bertanya kepada saya, apa hukumnya penggunaan kata Premier yang dirancang oleh kerajaan Sarawak untuk merujuk Ketua Menterinya.

Memang terbahak juga mendengar kata Premier itu. Sebabnya, untuk orang ada-ada, kadang tisu Premier memang digunakan untuk istinja’. Akan tetapi sebagai bersikap terbuka marilah kita menjauhkan diri dari jenama tisu mahal itu. Dan lupakan urusan mengelap punggung dengan tisu.

Mungkin elok kita fokus segenap perhatian kita terhadap keinginan menggunakan kata Premier dalam konteks Sarawak yang kini telah geger tersebut.

Pertamanya, hajat atau keinginan merumba-rumba dan membuak-buak kerajaan Sarawak untuk menggunakan kata Premier untuk merujuk kepada Ketua Menterinya itu membawa beberapa petanda. Ia secara signifikan mengisyaratkan bahawa kuasa pusat (baca Putrajaya) semakin lemah selepas Langkah Sheraton, yang mana kuasa Sarawak (baca Petrajaya) semakin berleluasa.

Kita sedang melihat era Sarawak pasca Langkah Sheraton di mana sejak Mahiaddin Yassin dan Ismail Sabri mentadbir Putrajaya, kelihatannya Sarawak semakin mengorak langkah untuk ‘merdeka’ dan bebas menerokai kuasa autonomi yang mereka punyai.

Hal ini, saya percaya tidak akan berlaku di zaman Tun Dr Mahathir. Bak kata Azwan Ali, dislike dislike dislike.

Adakah ini baik? Pemilihan kata Premier itu mungkin dilihat enteng atau kecil oleh segelintir orang. Namun demikian, ia mungkin permulaan kepada episod yang tidak kita ingini. Pemilihan kata Premier yang membawa maksud first in importance, order, or position boleh ditafsirkan kepada usaha untuk menjarakkan diri dari pusat, dan mencipta wewenang sendiri.

Hal ini jika benar niatnya begitu, sangat tidak baik untuk integrasi Semenanjung-Sarawak. Memang selama ini pun integrasi yang ada itu tidak begitu berkait, pun, pemilihan kata Premier bakal membawa implikasi lain. Ia membawa konotasi, Sarawak ingin melakukan apa sahaja kerana ketuanya adalah yang paling utama. Ia bakal memburukkan (yang sedia tidak humble) hubungan entiti dalam sistem persekutuan.

Hakikatnya kita perlu melihat pemilihan kata ini tidak sederhana kerana Sarawak sedang menegaskan yang ia memperoleh pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 (manakala Sabah pula pada 31 Ogos 1963). Sarawak kelihatan seperti sedang memberitahu Putrajaya yang 1963 lebih penting berbanding 1957. Semacam, jika Putrajaya gagal memahami langkah ini, Premier Sarawak yang bersemayam di Kuching ingin mengorak langkah sendiri-sendiri.

Kata Premier juga bererti – leading a prime minister or other head of government – yang dalam hal ini adalah kenyataan tanpa segan silu daripada Ketua Menteri Sarawak, yang ia punya sepenuh kehendak untuk melakukan sesuatu yang diingini.

Harus difahami pemilihan kata atau terma untuk ketua kerajaan tidak biasa atau sederhana.

Ambil sahaja terma Raja yang digunakan di Perlis. Ia punya sejarah sendiri. Pengarang Salasilah Perlis, yang dipercayai adalah Wan Din bin Wan Ali bin Wan Abdul Rahman bin Wan Muhammad Saman (disusun oleh Ahmad bin Ismail pada tahun 1963) menjelaskan gelar Raja itu menjelma sejurus penganugerahan gelaran “Phya” yang bermaksud raja kepada Raja Syed Hussin Jamalullail oleh Raja Siam (Rama Ill) pada tahun 1843. Pengarang Salasilah Perlis menjelaskan insiden tersebut begini:

maka keluarlah titah pula seperti beri tempoh berapa hari boleh mari pula kerana hendak dirasai nama bagi patut padan dengan rupa. Maka bermohonlah raja Ligor bawalah Syed Hussin ke tempat duduk cukup hari tempoh raja Maha Besar Siam [..] suruh bawa keluar surat [..] itu bacakan beri dengar akan gelaran namanya Syed Hussin itu demikian bunyinya: iaitu Phya Wichit Songkram Rama Wichit Willis Asmara Phya Perlis demikian adanyamaka baliklah Syed Hussin sekalian ke Perlis memerintah negeri Perlis menurut seperti mana peraturan.

Ini bermakna sebuah kuasa luar – Bangkok – telah mengiktiraf raja Perlis sebagai Phya Songkram Rama Wichit Wilis Asmara Phya Perlis. Itu membolehkan Syed Hussin Jamalullail tertabal secara rasminya sebagai Raja Perlis yang pertama.

Dalam konteks Premier, jika Putrajaya berdiam diri, ia membawa isyarat bahawa Putrajaya sedang mengesahkan langkah Petrajaya, Sarawak yang mereka di sana boleh menafsiri diri sebagai punya ‘wewenang’ sendiri.

Jika Premier Sarawak betul-betul bulat hati ingin jadi sebagai ‘first in importance, order, or position, maka mungkin mereka boleh menggunakan terma yang lebih kelas dan ada sejarah tertentu di Sarawak. Beranikah menggunakan terma White Rajah, iaitu istilah Rajah seperti digunakan oleh keluarga Brooke yang pernah menjajah Sarawak satu masa dulu?

Untuk mereka yang kurang mesra sejarah Sarawak, James Brooke tiba di Sarawak pada bulan Ogos 1839, yang asalnya sebagai satu penerokaan ilmu alam. Beliau tiba dengan kapal Royalist, yang lengkap meriam dan alat senjata. Brunei menggunakan kehadiran Brooke itu secara tidak ‘humble’ dan mesra untuk mengancam musuhnya.

Tatkala itu kemelut Sambas-Brunei dan Sarawak sedang melanda. Rajah Muda Hassim, yang dikirimi Sultan Omar Ali (Brunei) ke Sarawak untuk memadamkan kegawatan dan kerusuhan telah meminta bantuan Brooke untuk mengatasi pemberontak di Siniawan. Gunanya untuk menakut-nakutkan. Setelah dikepung, pada 20 Disember 1840, Rajah Muda Hassim telah menjadikan isteri dan anak-anak pemberontak sebagai tebusan dan meminta mereka mengalah.

Brooke pada mulanya ingin meninggalkan negeri itu dan kurang berminat dengan politik Sarawak yang rencam, tetapi tawaran Rajah Muda Hassim untuk memberinya Siniawan dan Sarawak, dan pentadbiran serta urus dagangnya, membuatkan Brooke serasa premier. Tentulah nafsu memerintah Brooke terkinja-kinja memberuk.

Akan tetapi tentu sahaja Rajah Muda Hassim menarik balik kata-katanya (terlajak kata!) dan itu membolehkan pihak lain bermain politik untuk mendekati beliau. Datu Tumanggong Mersal dan Datu Patinggi Ali yang sempat berlindung di Sambas kini memberikan tawaran balas iaitu untuk merajakannya. Atas sokongan Melayu Sarawak inilah pada 23 September 1841, Brooke menalakan meriam Royalist ke arah kota, disertai 200 orang Melayu Sarawak untuk melengserkan wewenang Rajah Muda Hassim. Oleh takut kerana kuasa politik sudah menipis, Rajah Muda Hassim esoknya mengisytiharkan Brooke sebagai Rajah, dan jatuhlah (senang bukan?) sebuah negeri ke tangan kuasa asing oleh bidak catur permainan politik orang-orang Melayu yang konon ‘pandai’.

Lihatlah bagaimana permainan orang atas-atas kayangan ini menjadikan kita rakyat biasa tergusur di bawah dilenyek dan dihenyak. Tidak cukup?

Nah, istilah Rajah itu kan jauh lebih mesra, dan ‘humble’ berbanding istilah Premier, bukan? Ia first in importance, order, or position. Sebab masing-masing yang mahu Premier itu berhujah mahu terma yang kelas-kelas bukan? Kata Inggeris kelas konon. Rajah bagaimana? Ia juga ada nilai sejarah yang ‘sentimental’ mengingatkan bagaimana Melayu Sarawak pernah menjual negeri. Sakit hati orang Iban dan lain-lain tidak tertebus lagi. Justeru, bolehlah orang (Melayu) Sarawak berangan 1963 kini lebih penting dari 1957. Anehnya, adakah orang bukan Melayu di Sarawak akan ikut sokong sekali, atau mendiamkan diri?

Oh ya, kali terakhir saya memeriksa laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka, Ketua Pengarah DBP masih Abang Salehuddin Abang Shokeran yang berasal dari Sarawak.


Premier Tak Kelas, Guna Saja White Rajah 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo syaifulloh bin imam muhtasari kontraktor bina rumah ibs saif muhtar

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo

Back to list